Isnin, April 19, 2010

EZAM AKAN DEDAH HUBUNGAN ANWAR DENGAN ARKITEK PERANG ISRAEL


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Noor akan mendedahkan bukti hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak Israel di Hulu Selangor dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau, antara yang akan didedahkan adalah salinan surat membuktikan hubungan rapat Anwar dengan Pengerusi Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang pernah bertugas sebagai arkitek perang Israel dan teman wanitanya, Shaha Ali Riza.

Dakwa Ezam, salinan surat itu mengandungi permintaan Anwar agar Shaha ditukarkan ke Foundation for the Future di mana penasihat PKR itu menjadi pengerusinya untuk menyelamatkan imej Wolfowitz daripada skandalnya dengan wanita itu.

Kata beliau, salinan surat itu diperolehnya daripada sumber di Bank Dunia.

"Anwar sebelum ini menuduh Kerajaan Pusat bekerjasama dengan Israel ekoran hubungan dengan Apco Worldwide tetapi pada saya ia hubungan profesional yang tidak memberi keuntungan kepada Israel tetapi kepada negara.

"Tetapi bagaimana hubungan rapatnya dengan Wolfowitz hingga sanggup melindungi lelaki itu daripada skandalnya," katanya.

Beliau ditemui selepas pengumuman peletakan jawatan dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua pemimpin AMK, Nor'isham Manap dan Muhammad Ali Mukhtar di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan yang mengatakan calon PKR Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim dapat membantu rakyat di kawasan itu kerana hubungan baiknya dengan kerajaan negeri, Ezam menjawab:

"Ahli Parlimen PKR sebelum ini juga mempunyai hubungan yang baik malah sangat rapat dengan kerajaan negeri, tetapi apa yang telah dilakukan kepada rakyat?"

MINUM ARAK CERITA LAMA


Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim berkata dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.

"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah S.W.T.

"Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen dari rumah ke rumah di Kerling di sini.

Zaid berkata apa yang membezakan antara beliau dengan pemimpin lain ialah beliau tidak bersikap hipokrit.

"Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menang lah, kalau tak layak, tak layaklah," katanya.

Zaid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beliau adalah seorang kaki botol tegar seperti dilaporkan oleh beberapa blog.

Pada pilihan raya kecil 25 April ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zaid, calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dan dua calon Bebas iaitu V.S. Chandran dan Johan Md Diah.

Kerusi Parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.