Sabtu, Jun 05, 2010

MB ARAH SIASAT KES 16 PELAJAR HAMIL


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan 16 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikatakan hamil anak luar nikah sepanjang setahun bermula tahun lalu.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) yang mendedahkan perkara berkenaan.

Ahmad Said berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

“Kita perlu kaji terlebih dahulu sama ada angka itu betul atau tidak, saya akan arahkan Jabatan Pelajaran melakukan siasatan segera dan melaporkan kepada saya.

“Siapa pelajar terbabit, bagaimana latar belakang mereka, kita akan hubungi PIBG untuk mendapatkan penjelasan. Betul atau tidak angka 16 pelajar itu dan dari mana, kita kena lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian 852 unit e-Book kepada murid dan bantuan pakaian sekolah rendah Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Marang, kelmarin.

Ahmad Said berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengatakan seramai 16 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikesan sedang mengandung, manakala empat sudah melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka sejak setahun lalu.

Kes terbaru membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Ahad lalu dan laporan turut memetik dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah berkenaan yang memberitahu, pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas seorang pelajar melahirkan anak April lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Said menegaskan mana-mana pihak tidak harus menyalahkan kerajaan, sebaliknya ibu bapa perlu bertanggungjawab memastikan kedudukan anak mereka setiap masa.