Ahad, September 04, 2011

PANDIKAR KM BARU SABAH?


Kelapa Mawar dalam Rontogdaily.com menulis kemungkinan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah bagi meredakan perebutan kuasa di antara Musa Aman dengan Shafie Afdal.

Ikutilah tulisan Kelapa Mawar sepertimana berikut:-

Seorang pemerhati politik Kota Belud yang juga seorang pejuang sejak dari zaman USNO, BERJAYA, PBS dan kini UMNO ‘meramalkan’ YDP Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin berpotensi untuk menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah setelah menimbangkan pergolakan politik Sabah sejak akhir-akhir ini.

Sambil menyifatkan bahawa Tan Sri Pandikar Amin adalah satu-satunya personaliti politikus Sabah yang bebas dari kontroversi serta skandal melibatkan kepentingan rakyat, besar kemungkinan Najib akan membuat kejutan pada politik sabah selepas PRU 13 akan datang.

Menyedari bahawa perkembangan politik sabah terutama dalam UMNO yang berpecah kepada dua team besar melibatkan Datuk Musa Aman dan datuk Shafie Apdal, kemudiannya pergolakan BN Sabah yang mencetuskan ketegangan melalui beberapa tuntutan dan reaksi LDP terhadap kepimpinan Musa Aman di Sabah, satu jangkaan luar batas kebiasaan politik di sabah akan dilakukan oleh Najib.

Datuk Salleh yang sebelum ini dilihat punya potensi besar dalam merebut kembali kerusi Ketua Menteri sabah diramalkan tidak akan menjadi pilihan Najib setelah Speaker Dewan Undangan Negeri ini menunjukkan kerelaan bekerjasama dengan Musa Aman sekali gus dilabel sebagai rakan kongsi dalam team Musa Aman.

Manakala Datuk Shafie Apdal pula bersama Datuk Hajiji dan beberapa orang dari mantan pemimpin USNO yang menyertai UMNO juga tidak akan menjadi pilihan Najib untuk Kerusi Ketua Menteri Sabah untuk mewujudkan keadilan dan membuktikan bahawa Najib tidak ‘menaja’ kumpulan mana-mana dalam UMNO dan BN sabah.

Oleh kerana itu, menurut pemerhati politik KB ini, TSP dilihat adalah calon terbaik setelah menunjukkan beberapa tanda kesetiaan terhadap pucuk pimpinan UMNO pusat termasuk sanggup membubarkan AKAR meskipun parti multi itu merupakan parti tertua dalam BN Sabah pada waktu tersebut. Kemudiannya, kesanggupan TSP menjadi ahli UMNO juga dianggap sebagai tanda kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.


Tidak terpinggir dengan pengalaman sedia ada, TSP juga pernah beberapa kali memegang portfolio penting peringkat negeri seperti menteri Kerja Raya dan menteri pertanian dan perikanan, manakala di peringkat pusat TSP pernah memegang portfolio penting di Jabatan Perdana Menteri ketika era Tun Mahathir dan memainkan peranan penting dalam pembebasan tebusan rakyat Malaysia di selatan Filipina.

Apabila TSP digugurkan pada PRU 12 yang lepas, beliau telah dilantik sebagai YDP Dewan Rakyat dan sebelum ini juga pernah menyandang speaker Dewan Undangan negeri. Dianugerahkan pingat tertinggi kerajaan Negeri Sabah yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima dan pernah diramalkan akan dilantik ke jawatan TYT negeri Sabah, namun tidak menjadi kenyataan apabila Datuk Juhar dilantik ke jawatan tersebut.


Memikirkan krebibiliti dan potensi besar itu, TSP dijangka akan bertanding pada PRU 13 akan datang di peringkat DUN untuk membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru. Hujah terakhir yang diutarakan ialah UMNO pernah mendapatkan khidmat Tun Gaffar Baba untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO sebagai meredakan ketegangan puak dan team dalam parti itu. Apakah TSP kali ini akan senasib seperti Tun Gaffar Baba? Hanya Najib yang boleh menceritakannya.

Kebetulan 15 Jun lalu saya pernah menemubual Pandikar Amin yang sedia menurut perintah, jika diperintah dia sedia bertanding semula dalam pilihanraya. Ikuti tuisan saya dalam blog ini seperti mana berikut:-

Semalam saya menemui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Saya kenali beliau sejak duduk di Sabah pada tahun 1989 lagi. Ketika itu beliau adalah Senator dari PBS dan akhirnya meninggalkan PBS dan menubuhkan Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) bersama Datuk Mark Koding.

Sudah tiga tahun saya tidak menemui beliau. Ketika beliau mula-mula dilantik sebagai Speaker saya yang bekerja dengan akhbar Watan ketika itu sempat menemuramahnya. Senalam saya berkunjung sebagai kawan lama.

Ketika ditanya, beliau berkata terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya.

"Jika BN suruh saya bertanding, saya bertanding dalam pilihanraya umum akan datang," kata beliau yang terpaksa bersara dari politik buat seketika setelah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat. Tan Sri Pandikar yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Marudu meletakkan jawatan kerana mahu beri tumpuan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, sebagai Speaker kita jangan aktif dalam politik nanti ahli parlimen pembangkang kata kita berat sebelah.

Sejak beliau meletakkan jawatan dalam UMNO, beliau dihormati oleh kawan dan lawan sepanjang mengendalikan persidangan Dewan Rakyat.

Tan Sri Pandikar Amin berkata sebagai ahli UMNO, beliau patuu kepada arahan parti.

"kalau parti tidak suruh saya bertanding, saya tak bertanding tetapi saya akan bantu calon BN menangi pilihanraya," katanya lagi.

Beliau yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah memukau Dewan Rakyat kerana berjaya mematahkan hujah ahli parlimen pembangkang. UMNO Sabah kini memilihi dua orang menteri tetapi mereka (Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Anipah Aman) tidak dapat menandingi kehebatan Pandikar ketika menjawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat.

Justru itu jika beliau aktif semula dalam parti, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana prestasi beliau tidak kira di mana tetap bersinar baik sebagai menteri di pusat, menteri di negeri atau Speaker Dewan Rakyat.

Ulasan saya, jika Pandikar Amin jadi KM Sabah, dia memang layak kerana dia pernah berkhidmat sebagai menteri pusat malah sebagai menteri negeri. Kalau bertanding di peringkat DUN semata-mata untuk jadi menteri sahaja memang tidak wajar buat beliau. Maka jawatan KM Sabahlah yang paling layak buat beliau untuk meredakan suasana perebutan kuasa antara Musa dengan Shafie.

SAMBUT HARI MALAYSIA SAHAJA


Sudah 48 tahun Malaysia terbentuk bila Sabah, Sarawak, Singapura (keluar dua tahun kemudian) dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) bersetuju untuk bergabung. Tetapi kenapa setiap tahun kita masih menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sedangkan Malaysia terbentuk pada 16 September 1963?

Tahun ini kita tidak merayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 54 kerana ia jatuh pada hari kedua hari raya Aidilfitri. Maka kita tidak sempat buat perarakan kerana warga kota semua balik berhari raya di kampung di seluruh negara. Justru itu kita akan merayakan hari kemerdekaan pada Hari Malaysia pada 16 September ini.

Saya ingin mencadangkan supaya mulai tahun hadapan tak payahlah kita menyambut Hari Kemerdekaan. Sekadar kita beri cuti sahaja kerana yang merdeka adalah Malaya dan bukannya Malaysia. Sambutan 31 Ogos tidak relevan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Mulai tahun hadapan kita sambut Hari Malaysia sahaja kerana ia adalah sejarah sebenar Malaysia.

31 Ogos 1957 Malaya yang merdeka sedangkan Sabah dan Sarawak belum lagi bersama Malaya. Siapa yang pesongkan sejarah selama ini? Kerajaan Tunku Abdul Rahmankah? Bukan kita tidak hargai jasa Tunku berunding dengan British untuk membebaskan Malaya dari cengkaman penjajah tetapi buat apa kita bernostalgia tentang Malaya yang sudah tidak wujud lagi.

Bukankah sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempromosikan 1Malaysia? Maka sudah sampai masanya kita ubah sejarah dengan menyambut Hari Malaysia sahaja. Kita beri cuti lagi pada 31 Ogos setiap tahun tetapi tak perlu buat perarakan kerana Malaysia tidak wujud lagi. Kita sambut besar-besaran Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun kerana itulah sejarah sebenar kemerdekaan Malaysia.

Mungkin kedatangan aidilfitri tahun ini memberi rahmat kepada kita kerana kita tak perlu menyambut hari kemerdekaan lagi secara besar-besaran. Apa salahnya perayaan hari Malaysia pada 16 September setiap tahun disambut seperti tahun ini juga di mana perarakan hari kemerdekaan dibuat pada Hari Malaysia. Beranikah Najib buat transformasi ini?

Tanyalah pakar sejarah seperti Dr Ramlah Adam, Adnan Wan Nawang yang tentunya bersetuju dengan pendapat ini bahawa kita sepatutnya sambut Hari Malaysia sahaja. Sewaktu saya belajar di Universiti Malaya (kena tukar nama juga), Adnan yang mengajar subjek sejarah malu kerana kita memperolehi kemerdekaan negara tanpa menitiskan darah. Negara lain rakyat mati berperang dengan penjajah kerana hendak merdekakan negara tetapi kita semudah itu diberi kemerdekaan oleh British tanpa menitiskan darah.Sebab itulah generasi baru tidak menghargai perjuangan kemerdekaan kita kerana kita terlalu gampang mendapat kemerdekaan.

BOIKOTLAH PILIHANRAYA


Pelik dan ajaib. Lima negeri pembangkang menang pada pilihanraya umum 2008 (Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor) tetapi mereka masih tak percaya kepada SPR. Kalau SPR belot, satu negeri pun mereka tidak akan menang.Sebaliknya mereka menang banyak kerusi sehingga menafikan majoriti dua pertiga BN buat kali pertama dalam sejarah politik Malaysia.

Inilah sikap orang yang tidak bersyukur kepada nikmat Allah. Jika mereka bersyukur sudah tentu mereka dapat menerima betapa berkecualinya SPR dalam mengendalikan pilihanraya umum.Inilah sikap orang yang bodoh sombong. Bila menang dia kata menang kerana mereka kuat tetapi bila kalah mereka salahkan SPR tidak adil.

Kalau SPR berat sebelah sudah lama PAS tumbang di Kelantan. Sebaliknya SPR sangat profesional dalam mengendalikan pilihanraya dan BN sendiri tidak menyangka mereka boleh tumbang di Pulau Pinang, Kedah,, Perak dan Selangor.

Pakatan Rakyat hari ini memberi Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya peluang terakhir bagi membuktikan komitmen mereka berhubung pembaharuan pilihan raya, sebelum gabungan itu memutuskan sama ada untuk memboikot jawatankuasa khas parlimen berhubung isu itu.

Pada sidang akhbarnya, hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan muktamad akan dibuat pada Oktober nanti.

"Kita belum buat sebarang keputusan untuk memboikot tetapi menjelaskan bahawa kerajaan perlu menunjukkan niat baik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan segera, dan PM menunjukkan beliau serius dengan menjamin pilihan raya hanya akan diadakan selepas SPR telah mengambil langkah sewajarnya.

"Kita ada beberapa minggu lagi sebelum Ramadan berakhir dan diikuti dengan Aidilfitri... satu atau dua minggu untuk berfikir. Menjelang bulan depan, kita akan tentukan,” katanya.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang berkata, bagi membuktikan komitmennya, SPR hendaklah segera membuat empat perubahan yang dituntut oleh BERSIH 2.0, antaranya menggunakan dakwat kekal, melanjutkan tempoh berkempen dan yang terpenting membersihkan daftar pemilih.

Katanya, ini tidak memerlukan pembentukan jawatankuasa khas parlimen yang dijangka dibentuk pada sidang parlimen Oktober ini.

Dalam perkembangan yang lain, Anwar berkata Majlis Pakatan Rakyat juga bersetuju mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan isu pemberian "kewarganegaraan segera" kepada penduduk tetap.

"(Setakat ini) tidak ada langsung jawapan jelas dari menteri dalam negeri itu, bagi mengurangkan kebimbangan (rakyat),"katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Pakatan Rakyat mencadangkan supaya suruhanraja diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat isu berkenaan.