Selasa, Januari 28, 2014

PENGGAL BARU BERMULA, TEMPAH KERETA BARU?

PETALING JAYA: Agak-agaknya sudah jadi trend semua kerajaan negeri, apabila penggal baru pemerintahan bermula maka semua Menteri Besar dan Exco mahu gunakan kereta baru. Belum lagi reda isu kereta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kini muncul pula isu kereta Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. Kereta Mercedes Benz S320 bernombor pendaftaran KBV 8 yang menjadi kenderaan rasmi Menteri Besar Kedah, kini menjadi bualan ramai, gara-gara dakwaan beberapa laman sosial dan blog pro pembangkang bahawa kereta itu bertukar ‘wajah’ namun menggunakan nombor plat sama. Berdasarkan dakwaan itu, kerajaan negeri dikatakan membeli Mercedes Benz S300 sekitar penghujung tahun lalu, namun menggunakan plat lama, KBV 8 pada kereta baharu berikutan nombor plat itu didaftarkan bawah kerajaan negeri sebagai kereta rasmi Menteri Besar Kedah. Menteri Besar, Mukhriz Mahathir, bagaimanapun menafikan membuat pembelian kereta baharu bagi kegunaan rasmi menteri besar. “Tidak ada kereta baharu dibeli, kereta yang saya gunakan dibeli ketika zaman Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika menjadi Menteri Besar. Saya guna kereta sama yang digunakan Allahyarham, iaitu Mercedes Benz S350, nombor plat KCX8,” katanya, kepada media, sejurus selesai majlis perhimpunan bulanan di Wisma Darul Aman semalam. Menurutnya, Mercedes Benz S320 bernombor plat KBV8 yang dibeli pada tahun 2006 oleh menteri besar sebelum itu, iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid masih digunakan sehingga kini. “Kereta itu masih digunakan tetapi kereta itu sudah lama, namun kita tidak membeli kereta baharu untuk kegunaan rasmi,” katanya. Mengulas dakwaan pembelian kereta Mercedes Benz S300 yang dikatakan berlaku beberapa bulan lalu, Mukhriz menegaskan, ia tidak berlaku seperti heboh diperkatakan. “Kereta Mercedes Benz S300 yang saya gunakan di Kuala Lumpur untuk urusan rasmi adalah milik saya, bukan kerajaan negeri. Saya gunakan kereta peribadi untuk kurangkan beban kewangan kerajaan negeri, cuma diletakkan plat tertulis menteri besar bagi memudahkan urusan terutama jika memasuki perkarangan Istana,” katanya. Mukhriz turut memperjelaskan kereta miliknya itu dibeli dua tahun lalu. “Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikecam kerana beli kereta baharu, sekarang nampaknya ada pihak cuba alihkan perhatian supaya isu itu dilupakan, dan tumpu pada saya pula. Mungkin pembangkang tidak ada isu untuk diketengahkan dan kaitkan isu peribadi seperti ini yang tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. Menurutnya, pihaknya tidak terkejut sekiranya isu pembelian kereta rasmi akan dibawa hingga ke parlimen kerana pembangkang mahu menegakkan kebenaran, sedangkan parlimen adalah sebuah dewan yang mulia untuk menggubal undang-undang. “Banyak lagi hal penting perlu diberi tumpuan, bukan hal remeh seperti ini,” katanya. Pada September 2011, Allahyarham Azizan dikecam apabila membeli KCX 8 sebagai kereta rasmi tambahan milik kerajaan negeri untuk kegunaan kenamaan, manakala Allahyarham selesa menggunakan Mercedes Benz KBV 8, yang diwarisi daripada Mahdzir. KCX 8 didaftarkan pada 20 Jun 2011 manakala KBV 8 didaftar 5 April 2006. Kedua-dua kenderaan itu didaftar bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Sehari selepas penafian Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir mengenai pembelian sebuah Mercedes Benz S300, beberapa blog pro pembangkang semakin rancak memperkatakan isu berkenaan, termasuk tidak berpuas hati dengan penjelasan itu. Beberapa maklum balas yang dipetik daripada laman sosial meminta kerajaan negeri membuat penjelasan terperinci berikutan ianya membabitkan perbelanjaan negeri. Turut didedahkan menerusi laman sosial itu, mendakwa Mercedes Benz S320 bernombor pendaftaran KBV8 yang didaftar pada 5 April 2006, kini didaftarkan dengan nombor pendaftaran baharu, iaitu KDQ 9900. Manakala plat KBV8 diletakkan pada Mercedes Benz S300, yang dikatakan dibeli beberapa bulan lalu. Pertukaran plat itu dikatakan melalui proses retention dan boleh dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan syarat pembelian kenderaan baharu. Bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Besar Kedah ( Azizan Abdul Razak), Mohd Helmi Khalid berkata, terdapat beberapa fakta meragukan berhubung penjelasan Mukhriz mengenai penafian membeli sebuah kereta baharu, kelmarin. Berikutan itu, beliau memohon penjelasan dibuat bagi mengungkai kekeliruan yang timbul, sekiranya benar tiada pembelian dibuat. “Selama lima tahun saya berkhidmat bawah pentadbiran Allahyarham Azizan, plat KBV8 adalah nombor pendaftaran Mercedes Benz S320, bukan S300. “Tidak wujud Mercedes Benz S300 di Wisma Darul Aman. Manakala KCX8 model S350 dibeli pada tahun 2011 sebagai kereta rasmi tambahan,” katanya. Menurutnya, pada ketika itu, hanya terdapat dua buah kereta rasmi yang digunakan oleh Menteri Besar, sehingga Mei 2013. Mohd Helmi berkata, bagi mendapatkan kepastian, beliau bertanya sendiri kepada pekerja di sebuah kedai aksesori di Jalan Gangsa, yang membuat proses pertukaran plat pada kedua-dua kereta terbabit “Saya bukan tuduh melulu, namun timbul kekeliruan apabila plat KBV8 digunakan pada kereta lain yang digunakan oleh Menteri Besar. Adakah nombor plat itu dibeli individu lain dan digunakan pada S300 miliknya, tetapi kenapa ada tertera menteri besar pada plat itu,” katanya. Difahamkan, Mercedes Benz S300 yang diletakkan plat KBV8 kini berada di Kuala Lumpur, manakala Mercedes Benz S320 yang ditukar kepada plat KDQ 9900 akan digunakan di Kedah. Isu kereta yang melanda Pulau Pinang dan Kedah, kjni berjangkit pula ke Negeri Sembilan. Seramai 10 Exco Kerajaan Negeri Sembilan menerima kereta rasmi baharu apabila Proton Perdana yang digunakan sebelum ini digantikan dengan Honda Accord 2.4 cc berkuatkuasa semalam. Turut menerima kereta baharu ini adalah, setiausaha kerajaan negeri, mufti negeri, penasihat undang-undang, speaker Dun dan juga pegawai kewangan negeri. Walau bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian kereta baharu ini tidak melibatkan dirinya berikutan beliau tidak pernah menggunakan kereta rasmi kerajaan negeri, sebaliknya menggunakan kenderaan sendiri. “Sudah tiba masanya kereta lama kerajaan negeri itu ditukar baru memandangkan usia kereta Proton Perdana yang digunakan itu sudah melebihi 10 ke 12 tahun, malah ada di antaranya selalu rosak sehingga menyebabkan Exco kita terkandas di tengah-tengah lebuh raya. “Kos penyelenggaraan kereta lama itu juga sangat tinggi. Tiga buah kereta yang diselengara sama harga dengan sebuah kereta baharu dan itu merupakan satu pembaziran. “Saya yakin dengan penggunaan kereta baru ini, ia dapat mengurangkan kos penyelenggaraan, di samping menjimatkan wang untuk membaikinya,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, dekat Wisma Negeri di sini, semalam. Tambah Mohamad, kereta ini ditempah lama pada tahun lalu, iaitu sebelum model Proton Perdana baharu dilancarkan, dan kos keseluruhan bagi pembelian 15 kereta tersebut adalah berjumlah RM1.6 juta, di mana setiap kereta berharga RM110,000. Melaka turut menerima kereta baru apabila sembilan kereta baharu jenis sama diterima timbalan Exco dan timbalan speaker kerajaan negeri, semalam. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kenderaan rasmi berkenaan disewa daripada anak syarikat kerajaan negeri, Panorama Melaka Sdn Bhd. Menurutnya, menerusi pengalaman sebelum ini, kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan dalam jumlah cukup besar “Kita menyewa kenderaan ini mengikut bulan dan bukan belian kerana sewaan lebih menguntungkan. Apabila rosak senang kita hantar penyelenggaraan kepada mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco di Seri Negeri, semalam. Sebelum ini timbalan Exco menggunakan kenderaan jabatan atau persendirian bagi menjalankan tugasan. Katanya, kenderaan berkenaan sudah ditempah sejak tahun lalu. Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka sudah dapat kereta baru. Selepas ini negeri-negeri lain dijangka menyusul. Kalau pemimpin hanya mementingkan kereta, sampai bila kerajaan negeri mahu berjimat duit rakyat di saat-saat rakyat disuruh berjimat cermat? Sama-samalah kita fikir.