Isnin, Mei 18, 2015

ZABIDI MENULIS DI BERITADAILY.COM

Sabtu lalu ketika mengadakan road show di Ipoh Perak, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia mungkin akan meletakkan jawatan. Pandikar sudah menafikannya tetapi beliau mengakui ada menemui Dr Mahathir yang dianggap sebagai mentor kepada semua pemimpin politik di negara ini.

Dalam pertemuan dengan Dr Mahathir beliau meluahkan kekecewaannya dengan apa yang berlaku dalam politik Malaysia masa kini.

Menurut sumber, Pandikar meluluskan permohonan bekas ahli parlimen Permatang Pauh, Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat tetapi keputusan itu di'overruled' oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Itu yang membuatkan Pandikar kecewa. Pandikar adalah seorang yang ada prinsip. Beliau pernah menjadi senator dan dilantik Menteri di Perdana Menteri mewakili parti PBS salah satu komponen BN.

Ketika menjadi menteri pada tahun 1990an beliau hebat mematahkan hujah pembangkang.

Tetapi kerana prinsip beliau meninggalkan PBS dan menubuhkan parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) salah satu parti nyamuk di Sabah.

Beliau bersama Mark Koding yang tidak dapat menerima kepimpinan Joseph Pairin Kitingan lagi. Turut serta dalam AKAR ialah bekas Timbalan Menteri Buruh, Kalakau Untol dan Haji Juhar Mahiruddin (kini Yang Dipertuan Negeri Sabah).

Dalam pilihanraya umum negeri Sabah 1990, AKAR gagal memenangi sebarang kerusi. Apabila Umno masuk ke Sabah pada tahun 1991, Pandikar dan Haji Juhar menyertai Umno. Pandikar dari suku kaum Irranun menang kerusi di DUN Tempasuk dan dilantik sebagai menteri dalam kerajaan negeri apabila BN menumbangkan PBS melalui lompatan ADUN PBS, Datuk Seri Lajim Okin ke dalam Umno.

Sebagai bekas wartawan akhbar Watan di Sabah, saya rapat dengan Pandikar. Malah beliau pernah beritahu saya bahawa beliau pernah jadi menteri negeri, menteri persekutuan, Speaker Dewan Rakyat, cuma satu sahaja yang belum pernah beliau pegang jawatan iaitu Ketua Menteri Sabah.

Ini bermakna jika Najib mengarahkannya bertanding di DUN Sabah untuk dilantik Ketua Menteri, beliau terima arahan itu. Sesiapa yang masuk politik sudah tentu bercita-cita mahu menjadi Ketua Menteri. Pandikar pun sama tetapi peluang yang tidak ada.

Apabila dilantik Speaker Dewan Rakyat pada tahun 2008, Pandikar melepaskan jawatan Ketua Umno Bahagian Marudu kerana sebagai Speaker beliau mahu dilihat berkecuali tidak memihak kepada mana-mana ahli parlimen sama ada ahli parlimen BN atau pembangkang.

Ternyata di Dewan Rakyat Pandikar dilihat cuba berlaku adil kepada semua ahli parlimen. Beliau cuba beri ruang kepada semua ahli parlimen berbahas tanpa mengira parti. Pandikar dengan suara lembut cuba menasihati mana-mana ahli parlimen yang melanggar peraturan persidangan. Bila ada ahli parlimen yang degil maka beliau terpaksa menghalau keluar dari Dewan.

Menurut sumber, Pandikar tidak jadi meletakkan jawatan kerana Najib menawarkan projek bernilai RM400 juta kepada beliau. Betulkah Pandikar?

Jika betul, ini bermakna anda sudah menjual prinsip anda. Kalau begini gaya kepimpinan Najib membeli pemimpin Umno, memang sukar Dr Mahathir mahu menumbangkan Najib.

Najib semakin berani menyerang Dr Mahathir kerana beliau boleh membeli sesiapa sahaja sekarang.

Jika keadaan ini berterusan, Najib menang dalam peperangannya dengan Dr Mahathir tetapi kalah dalam PRU akan datang. Kerana keputusan PRK Rompin dan Permatang Pauh menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN semakin luntur.

Seperti kata Muhyiddin Yassin, dua peratus sokongan lari dari BN pada PRU akan datang, BN tidak akan dapat simple majoriti.

Jika ia berlaku, Najib menang melawan Dr Mahathir tetapi dia kalah menentang Pakatan Rakyat. Dr Mahathir mahu menyelamatkan Umno tetapi Najib mahu menyelamatkan dirinya sendiri. (dipetik dari beritadaily.com)