Ahad, Disember 06, 2015

MB PUJI MAJLIS KUCA SURA

Walaupun bulan Muharram sudah berlalu, namun kesungguhan anak anak Terengganu di perantauan mahu mengadakan majlis kuca sura, maka majlis itu tetap diadakan di bulan Safar semalam.

Apabila mengetahui Persatuan Anak Terengganu Di Kuala Lumpur (PESAT) tidak mengadakan majlis kuca sura, maka sekumpulan 100 orang ahli grup whatsapp Anak Terengganu Di Perantauan telah mengambil inisiatif mengadakan majlis kuca sura di pejabat PERMATA di Kg Baru, Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 6 petang semalam.

Seramai lebih 300 orang anak Terengganu di Kuala Lumpur menghadiri majlis tersebut yang turut diserikan dengan kehadiran MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Zubir Embong.

Menurut penganjurnya, Abang Sani, tiga minggu lalu ada ahli whatsapp grup kami mencadangkan supaya diadakan majlis kuca sura. Maka Sani pun mencari sponsor dan  beliau menyerahkan kepada satu jawatankuasa pelaksana untuk melaksanakannya.

"Alhamdulillah. Majlis ini berjaya diadakan. Kami terharu di atas kesudian MB yang sudi hadir bersama Speaker Dewan Undangan Negeri," kata beliau dalam wawancara melalui whatsapp.

Katanya lagi, majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan perhubungan silaratulrahim di antara anak Terengganu di Kuala Lumpur malah ia juga mahu menunjukkan betapa sibuknya kami mencari makan di Kuala Lumpur tetapi semangat kerja berpasukan sesama anak Terengganu tetap ada.

"Apabila kami merantau ke ibu negara, maka majlis seperti ini yang dapat mengenali sesama anak Terengganu," katanya.

Sani percaya lebih banyak majlis seperti ini dapat diadakan di masa akan datang jika anak-anak Terengganu terus bekerjasama dan bersatu.

MB pula dalam ucapan secara santai mahu majlis seperti ini diadakan sebagai acara tahunan. Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang dapat mengadakan majlis seumpama ini dalam waktu yang singkat.