Rabu, Februari 17, 2016

PENGIKUT RAMAI DALAM FACEBOOK BUKAN UKURAN MENANG PILIHANRAYA



"Jangan main-main, ini bukan dugaan," kata Pengerusi Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup yang  melahirkan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bukan itu sahaja, Abdul Rani juga mahu mencabar kerusi parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang yang masing-masing disandang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Saari Sungib.

Abdul Rani atau dikenali sebagai 'Paduka Ayahanda Arka' berkata, hasratnya itu timbul selepas mendapat dorongan dan galakan daripada pengikutnya di Facebook.

"Daripada pengikut Ayah di Facebok, mereka berhasrat nak tengok Ayah bertanding dalam pilihan raya.

"Ayah pun nak juga cuba apa salahnya kalau Ayah bertanding.

"Masa pilihan raya lalu banyak juga NGO yang bertanding. Jadi apa salahnya kali ini Ayah bertanding pula," katanya bersemangat dalam temubual bersama Malaysiakini.

Abdul Rani yang terkenal dengan gelaran 'Raja Report' berkata lagi, beliau sangat serius untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

"Jangan main-main. Ini bukan cubaan, dugaan, ini betul-betul Ayah akan bertanding," katanya sambil menggenggam tangan.


Berhasrat untuk bertanding atas tiket Bebas, Abdul Rani juga berkata antara 'manifesto' ditawarkan sekiranya beliau menang ialah memastikan rakyat hidup senang.

Malah, beliau juga akan memastikan bahawa dirinya tidak akan menjadi seperti wakil rakyat yang sedia ada apabila hanya 'muncul' lima tahun sekali.

"Ayah kalau dapat peluang jadi wakil rakyat Ayah akan bela rakyat dan tak akan tinggalkan rakyat.

"Ayah tak nak senang sorang. Biar rakyat senang, Ayah senang kemudian tak apa," katanya lagi.

Abdul Rani yang akan menginjak usia 61 tahun 10 Mac depan berkata, beliau telah lama bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat.

Katanya, beliau tidak mahu hanya menjadi pemimpin di peringkat NGO sahaja tetapi ingin ke peringkat lebih tinggi.

Ulasan saya, lebih baik Ayah lupakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas kerana ia buang masa dan duit Ayah sahaja. Saya teringat kepada suami sepupu saya, Zakiman yang bertanding Bebas di parlimen Kota Bharu pada PRU 2013. Saya tanya kenapa beliau bertanding Bebas sedangkan beliau tidak berkempen langsung dan tidak menampal sebarang poster calon, beliau berkata beliau mahu cari pengalaman sebagai calon dalam PRU.

Walaupun Ayah mempunyai pengikut yang ramai dalam Facebook, ia bukan ukuran Ayah boleh menang dalam PRU akan datang. Pengikut Ayah merata di seluruh Malaysia dan bukannya majoriti pengikut berada di parlimen Gombak atau di DUN Hulu Kelang.

Untuk cari pengalaman jadi calon memang boleh, tetapi calon Bebas sukar menang kecuali Ayah calon BN atau Pakatan Harapan. Dalam sejaran politik Malaysia, ada tiga calon Bebas yang menang dalam PRU iaitu Cikgu Jabar di Batu Laut pada tahun 1969 dan 1974, Mutalib di DUN Batu Buruk dan Shahrir Samad di parlimen Johor Bharu.

Bagaimanapun kita alu alukan hasrat Ayah nak bertanding. Jika Ayah menang, Ayah mencatat sejarah menjadi calon Bebas yang keempat dapat mengalahkan calon BN. Kipidap Ayah!